PUTRAJAYA: MCA memberi bayangan parti itu belum menyertai Perikatan Nasional (PN) secara sah.
Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai salah sebuah parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan, parti itu sentiasa memberi sokongan penuh tanpa berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya hanya hendak kata dalam konteks BN ia mengandungi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Itu sahaja, jadi kita adalah sebahagian daripada kerajaan memerintah iaitu Kerajaan PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan platform e-dagang Shopmy Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh.
Beliau mengulas sama ada MCA sudah didaftarkan secara rasmi dalam PN bagi mendukung perikatan itu sebagai gabungan besar mewakili kerajaan pemerintah.
Sebelum ini, media melaporkan PN dijangka disertai oleh lima parti termasuk daripada komponen BN yang telah membuat pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi menubuhkan perikatan itu.
Tahun lalu, sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-66, Ka Siong memberitahu bahawa PN adalah lebih kepada semangat kebersamaan parti kerajaan dan bukan satu gabungan rasmi serta tidak timbul soal MCA perlu merestui atau menyertai PN secara rasmi.
Menteri Pengangkutan itu malah hanya memberi jawapan bahawa isu itu adalah perkara lama yang tidak perlu dipersoalkan lagi.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September ini, beliau menegaskan, pihaknya bersedia bekerja sebagai satu kumpulan dalam komponen BN bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.
“Kita telah bersedia untuk berdepan dengan PRN Sabah tidak kira sama ada dalam konteks BN atau PN. Jadi, kita tunggu sahaja pengumuman kerana paluan gendang sudah bermula, maksudnya kita perlu bersiap siaga kerana pengadil sudah berada di tengah padang jadi kita perlu berdepan (pihak lawan),” jelasnya.
Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) menang di 21 kerusi, tewas di 24 kerusi DUN yang ditandingi.
DAP pula menang di enam kerusi daripada tujuh kerusi yang ditandingi, sementara PKR tewas di enam kerusi dan hanya menang dua kerusi DUN. STAR pula menang di dua kerusi, namun tewas di 16 lagi kerusi yang ditandingi, sementara Parti Cinta Sabah tewas di semua 18 kerusi sebelum ini. – UTUSAN ONLINE