SHAH ALAM: Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-20, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sepanjang Oktober bermula esok.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemberi diskaun itu bertujuan memberi peluang kepada orang kena kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun kepada pihak MBSA.
Katanya, pelaksanaan kempen pengurangan kompaun tersebut bermula esok sehingga 31 Oktober depan dengan tawaran sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan.
“Kempen yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.
“Antara kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus ialah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005.
“Selain itu, kompaun turut tertakhluk bagi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007,Undang-undang-Kecil Penjaja (MBSA) 2007 dan Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Shahrin, bagi kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA), pihaknya juga memberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter bayaran MBSA.
“Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, MBSA menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi setiap hari Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.
“Orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di kaunter utama Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran Seksyen 14, Shah Alam; Pejabat Cawangan Sungai Buloh; Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam,” katanya.
Katanya, untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan kaunter Bank Rakyat.