BANTING: Satu mayat lelaki dipercayai warga asing ditemukan di kebun kelapa sawit di Kampung Seri Cheeding, Sungai Jarom di sini semalam.
Mayat lelaki berusia 40-an yang tidak diketahui identiti itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan kebun tersebut kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, berdasarkan keadaan mayat itu, pihaknya menganggarkan lelaki tersebut telah meninggal dunia sejak dua hari lalu.
“Malah, berdasarkan pemeriksaan pada mayat juga tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri mangsa di lokasi kejadian.
“Selain itu, pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang senjata.
“Mayat yang lengkap berpakaian tetapi tidak terurus ini dipercayai warga asing berikutan tiada suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN