Maut dipukul anak sendiri - Utusan Malaysia

Maut dipukul anak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berusia 75 tahun maut dipukul anak lelakinya yang menghidap masalah mental dalam kejadian di stor sebuah kedai runcit berhampiran Pasar Gunung Rapat, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mangsa, Pang Ket Tai ditemukan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di muka, leher dan kepala di stor bahagian belakang premis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, semasa kejadian, hanya mangsa dan anak lelakinya yang berusia 49 tahun berada di lokasi tersebut.

Katanya, ketika ditemui, suspek yang berada di sisi bapanya itu tidak cuba melarikan diri sehingga tangkapan dilakukan ke atasnya.

“Pihak polis ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat berlaku pergaduhan. Ketika tiba, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan.

“Tangkapan dilakukan ke atas suspek yang dipercayai mencederakan bapanya dengan menggunakan kaca botol,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata, mayat mangsa yang merupakan pekedai runcit itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan antara dua beranak itu berlaku ekoran suspek sering dimarahi mangsa kerana tidak mendengar kata.

“Siasatan juga mendapati suspek yang membantu kedai runcit bapanya itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun mempunyai rekod rawatan penyakit mental sejak 20 tahun lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dengan tertangkapnya suspek, kita percaya kes tersebut dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya