GUA MUSANG: Masalah terputus bekalan air yang membelenggu 500 keluarga yang mendiami Projek Perumahan Rumah (PPR) Jalan Persiaran Raya, di sini sejak sebulan lalu bakal selesai dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin berkata, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) ketika memberi jaminan itu memberitahu, masalah bekalan air disebabkan kebocoran paip di situ sedang giat diatasi.
Katanya, masalah bekalan air menyebabkan urusan harian penduduk yang tinggal di tingkat dua, tiga dan empat PPR terbabit terjejas teruk.
“Kita menerima aduan penduduk yang tinggal di aras terbabit langsung tidak memperoleh bekalan air sehingga mereka terpaksa mengangkut air sungai dari kampung berhampiran,” katanya.
Menurut Mohd. Syahbuddin, sebelum ini perbincangan secara serius berkaitan masalah air di PPR tersebut serta dua lagi kampung telah dilakukan beberapa kali oleh pihaknya dengan pihak AKSB.
“Kita mahu AKSB menangani isu ini dengan bijak dan cepat supaya penduduk tidak terus tertekan dengan masalah air.
“Terdapat penduduk di kawasan terlibat bertindak membuang meter air dari rumah kerana kecewa dengan pihak AKSB,” katanya. – UTUSAN