KUBANG PASU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 200 kilogram jambu air yang diseludup dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di sini semalam.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori di kompleks berkenaan pada pukul 11 malam menemukan jambu air itu yang bernilai kira-kira RM2,000.
“Dagangan jambu air yang ditahan kerana memberikan dokumen Sijil Fitosinatasi dari negara asal yang mengelirukan.
“Kes mengisytiharkan dokumen yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua–duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil ke atas pengimport yang cuba membawa masuk keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Pihak MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya. – UTUSAN