Mangsa penghinaan fizikal buat laporan polis - Utusan Malaysia

Mangsa penghinaan fizikal buat laporan polis

SUHARNIZAN Md. Sidek, (tengah) bersama peguam, Mohd. Rasheed Hassan (kanan) dan Zulkafli Mohd Nor (kiri) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, hari ini. -FOTO: RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Seorang ibu kepada dua anak bukan sahaja mengalami kemurungan tetapi gangguan emosi berikutan kenyataan berbaur penghinaan fizikal yang dilemparkan personaliti media sosial, bulan lalu.

Menurut Suharnizan Md. Sidek, 37, kata cacian yang didakwa dilakukan personaliti terlibat menerusi Facebook secara langsung telah menyentuh rupa fizikalnya.

“Malah, wanita itu juga memaparkan beberapa gambar saya dan anak-anak tanpa kebenaran di Facebook Live yang ditonton oleh ramai pengikutnya sekali gus memberi kesan mendalam kepada kami.

Walaupun ia terjadi hampir sebulan, namun terdapat akaun media sosial lain yang memuat video itu semula sekali gus mencetuskan suasana tidak selesa kepada kami sekeluarga sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Terdahulu, Suharnizan dengan ditemani peguamnya, Mohd. Rasheed Hassan membuat laporan polis berhubung perbuatan wanita tersebut.

Dalam pada itu, Suharnizan yang bekerja sebagai Pesuruhjaya Sumpah berkata, kejadian itu berlaku selepas dia meninggalkan satu komen ketika wanita berkenaan melakukan Facebook Live pada pukul 10 pagi, 18 Ogos lalu.

Katanya lagi, tanpa disedari personaliti terbabit telah membalas komen itu secara langsung di akaun Facebook milik personaliti berkenaan yang berbaur penghinaan fizikal.

“Oleh itu, saya telah mendapatkan nasihat peguam untuk meminta untuk membuat tuntutan sivil kepada dia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rasheed berkata, pihaknya telah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti terlibat pada hari ini.

Beliau berkata, antara tuntutan itu adalah personaliti itu diminta untuk memohon maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

“Jika dia gagal berbuat demikian, kita akan membawa kes ini untuk tindakan saman di mahkamah,” katanya.

Mohd. Rasheed juga meminta Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perbuatan itu kerana body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya