BUTTERWORTH: Seorang mangsa keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta, Nor Aqilah Mohd. Safwan, 21, dilaporkan sudah sedar daripada koma.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, Nor Aqilah juga sudah boleh mengangguk kepala dan boleh mengenal ahli keluarganya yang lain.
“Alhamdullilah, Nor Aqilah sudah sedar daripada koma dan mengangguk kepala tanda kenal ahli keluarga yang datang melawatnya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sebelum ini, Nor Aqilah dilaporkan diletakkan di dalam keadaan koma untuk diberikan rawatan namun berada dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Permatang Pauh minggu lalu, Nor Aqilah bersama kembarnya, Nor Adilah serta dua rakan, Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayunie Shazwanie Shabri berusia 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang enjinnya masih hidup dan pintu tertutup ketika sedang berehat.
Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di dalam MPV jenis Honda Odyssey itu, manakala Ayunie Shazwanie disahkan terkorban ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini akibat keracunan gas karbon monoksida.
Nor Adilah yang dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak turut meninggal dunia. – UTUSAN ONLINE