`Mana mula tak penting, mana berakhir lebih penting' - Utusan Malaysia

`Mana mula tak penting, mana berakhir lebih penting’

Seorang bekas anggota Al-Maunah yang dibebaskan awal atas pengampunan Yang di-Pertuan Agong membaca akhbar Utusan Malaysia semalam. - UTUSAN/HASIF IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat menjadi realiti yang terpaksa ditelan apatah lagi terpaksa meninggalkan anak bongsu yang ketika itu berusia dua tahun.

Seorang daripada 13 bekas ahli kumpulan Al-Maunah masih terbayang-bayang lambaian anaknya ketika hendak berpisah jika ada perjumpaan dengan keluarga.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya dekat sini semalam, lelaki berkenaan yang dikurniakan pembebasan awal oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan Ke-63 berkata, dia bersyukur diberi peluang kedua dan menghargai pengorbanan isterinya yang menjaga keluarga mereka.

“Sekarang anak bongsu saya sudah melanjutkan pengajian di universiti dan saya ingin mengucapkan penghargaan tertinggi kepada isteri kerana sabar, tabah dan berjaya membesarkan anak kami.

“Semasa di penjara, saya selalu teruja apabila anak memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Ketika kecil, anak saya hanya tahu ayahnya di dalam cermin dan saya masih ingat lambaiannya dari luar bilik perjumpaan.

“Anak saya juga sering bertanyakan bila saya hendak balik semasa kami bertemu di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang,” katanya.

Ceritanya, ketika di dalam penjara, dia banyak membantu unit agama membimbing penghuni lain seperti mengaji al-Quran, kelas fardu ain dan tazkirah setiap hari.

“Memandangkan kawan-kawan lain sudah mengambil kelas menjahit, memasak dan sambung belajar di Open University Malaysia (OUM), saya tergerak hati memilih pengajian kelas agama kerana memikirkan usia sudah lanjut.

“Malah, saya sangat berterima kasih kepada pengurusanPenjara Kajang kerana pernah memberi peluang kepada saya membaca khutbah dan menjadi pembimbing rakan sebaya (PRS) kepada penghuni penjara lain serta kelas tadarus al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, anak keempat daripada lapan beradik itu memberi pesanan kepada orang ramai supaya mengubah persepsi terhadap institusi penjara dan jangan sesekali memandang serong terhadap mereka.

Baginya, penjara ibarat rumah kedua dengan mengenali dan membesar bersama banduan lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta kerjaya.

“Saya tidak sempat berjumpa rakan banduan lain sebelum meninggalkan penjara dan saya mahu pesan kepada mereka bahawa di mana kita bermula tidak penting, yang penting di mana kita berakhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN