BANGI: Makmur Gold Holding Sdn Bhd, rangkaian kedai emas dibangunkan secara usahasama dengan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur), menyasarkan jualan RM100 juta menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Hishamuddin Abdullah berkata, syarikat menggunakan kaedah ejen yang membantu melonjakkan jualan.
Katanya, sejak mula membuka kedai emas pada Januari 2019 dan memperkenalkan jualan konsep ejen pada tahun sama, syarikat berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM70 juta.
“Ejen sangat agresif membuat jualan. Mereka memainkan peranan cukup besar kepada kami kerana ia membantu melonjakkan jualan emas. Malah kami berupaya membuka sehingga empat cawangan dalam tempoh setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Makmur Gold bermula sebagai pembekal jongkong emas kepada kedai emas tempatan sejak 2018 sebelum tampil dengan premis fizikal dan aksesori barangan kemas.
Hishamuddin berkata, satu daripada kelebihan penggunaan ejen ialah mereka menggalakkan pembelian dalam kalangan pelanggan tanpa sebarang had masa.
“Kedai beroperasi dalam lapan ke sembilan jam. Tetapi ejen berupaya bekerja dalam tempoh masa panjang. Komisen ejen dibayar bergantung jumlah jualan,” katanya.
Bagi memastikan kiraan komisen ejen berjalan dengan sempurna, syarikat memperuntukkan lebih RM1.5 juta dalam pembangunan sistem teknologi maklumatnya.
Selain Kuantan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, cawangan terbaharu Makmur Gold dibuka di sini. – UTUSAN