SEREMBAN: Golongan pesara diingatkan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam seperti yang sering dilaporkan dalam media.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lazimnya golongan pesara antara golongan sasaran kerana mengetahui kumpulan ini mempunyai wang.
“Penjawat awam yang masih bertugas juga sering dicari Macau Scam yang bijak mengenal pasti sasaran.
“Berhati-hatilah dalam pelaburan atau menerima panggilan telefon supaya anda tidak tertipu dengan helah ahli sindiket,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di sini hari ini.
Menurut beliau, pesara diingatkan tidak sama sekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan menanggung kerugian.
Dalam majlis sama, Aminuddin mengumumkan kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah perkampungan pesara ‘Retirement Village’ melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisiran Pantai Port Dickson.
“Komponen pembangunan perkampungan tersebut mesti mesra pesara seperti pusat kejururawatan, infrastruktur mesra orang kelainan upaya (OKU), taman rekreasi dan landskap berkonsep ‘wellness’ dan juga hospital swasta, klinik kesihatan serta farmasi,” katanya.- UTUSAN