Lesap RM13,000 selepas dedah OTP - Utusan Malaysia

Lesap RM13,000 selepas dedah OTP

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Akibat menyerahkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) kepada individu tidak dikenali, seorang pengurus syarikat di sini kerugian RM13,000 dalam kejadian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku selepas lelaki berusia 53 tahun itu dihubungi individu menyamar sebagai pegawai bank.

“Suspek menyatakan pihak bank membuat potongan daripada pembelian menerusi platform e-dagang Shopee sebanyak RM2,386 dan boleh menghubungi 1-800-81-8857 jika tidak berbuat demikian.

“Mangsa menghubungi nombor tersebut dan bercakap dengan lelaki bernama Boon. Dia juga menafikan tidak membuat pembelian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir berkata, Boon memaklumkan mangsa menerima panggilan ‘scammer’ dan meminta maklumat akaun bank untuk mengaktifkan insurans Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Selepas itu, katanya, mangsa menyerahkan semua maklumat akaun bank termasuk nombor kad debit dan kredit kepada suspek.

“Dia turut menyerahkan nombor pengesahan kad (CVC) yang tertera di belakang kad kredit dan debit serta OTP ketika perbualan telefon itu berlangsung.

“Suspek memaklumkan tidak dapat mengaktifkan insurans PIDM dan meminta lelaki itu membuat semakan dengan pihak bank sebelum menamatkan talian,” ujarnya.

Beliau menambah, semakan dengan pihak bank mendapati wang milik mangsa lesap dan meminta lelaki itu membuat laporan polis.

Mangsa membuat laporan poli di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN