BACHOK: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila individu dipercayai menyamar sebagai anggota polis melepaskan tembakan di Jalan Kampung Sungai, Perupok di sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah jalan raya dipercayai sebagai amaran kepada mereka.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa berusia 34 tahun bersama abang ipar dan anak saudaranya menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru menghalang laluan mereka sebelum seorang penumpang lelaki keluar dari kereta itu.
“Penumpang yang memakai jaket polis berwarna hijau dan berseluar pendek mengarahkan mangsa keluar dari kereta sebelum melepaskan satu das tembakan ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shafien, suspek kemudian melarikan kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian menemukan satu kelongsong peluru berwarna perak.
Susulan kejadian itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-745 0999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta senjata Api (Penalti Lebih Berat) 197. – UTUSAN ONLINE