KULIM: Seorang lelaki yang ketagih arak sanggup mengugut membunuh ibunya ketika meminta wang di Kampung Kamunting, Karangan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.30 malam ketika mangsa berusia 53 tahun berada di rumahnya bersama seorang anak perempuannya berusia 20-an.
Katanya, suspek adalah anak sulung mangsa yang tinggal di rumah berasingan dan tidak mempunyai pekerjaan.
“Suspek berusia 32 tahun tiba di rumah mangsa dalam keadaan mabuk meminta sejumlah wang namun ibunya memaklumkan tidak mempunyai wang untuk diberikan.
“Seterusnya berlaku pertengkaran antara suspek dengan mangsa dan suspek yang tidak berpuas hati ke dapur mengambil sebilah pisau lalu mengacukannya ke arah wanita itu dan mengugut mahu membunuhnya.
“Pertengkaran itu disedari anak perempuan mangsa yang bertindak meleraikannya dan suspek terus keluar rumah melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Azhar berkata, mangsa yang bimbang keselamatannya telah menghubungi polis.
Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek pada pukul 12.15 tengah malam semalam.
“Polis juga merampas sebilah pisau sepanjang 21 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – UTUSAN ONLINE