KEMAMAN: Berang tidak diberikan wang, seorang lelaki bertindak membakar rumahnya di Kampung Batu Putih, Kertih di sini hari ini.
Tindakan lelaki berusia 47 tahun itu menyebabkan hampir keseluruhan rumah pusaka yang diduduki bersama adiknya terbakar.
Lelaki itu dikatakan naik angin dan mengamuk kerana cubaan meminta duit daripada ahli keluarganya yang tinggal berdekatan dipercayai untuk membeli dadah, ditolak.
Adik suspek, Mohd. Amran Mohd. Nor, 37, berkata, kejadian itu hanya disedari selepas dimaklumkan rakannya.
“Semasa saya keluar rumah, dia nampak seperti biasa dan saya terkejut apabila kawan beritahu rumah terbakar.
“Saya bergegas balik tetapi rumah sudah terbakar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kertih, Khairulhasni Mokhtar berkata, pihaknya dengan kekuatan 18 anggota dan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 pagi.
“Setibanya di lokasi kita dapati rumah hampir 100 peratus terbakar dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 11.33 pagi,” katanya.
Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis oleh ahli keluarganya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE