Lebih 1,000 hadir solat jenazah Kadi Johor Bahru - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 hadir solat jenazah Kadi Johor Bahru

JENAZAH Mohd. Fahami Abd. Samad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 jemaah menyertai solat jenazah Kadi Johor Bahru, Mohd. Fahami Abd. Samad yang meninggal dunia dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin semalam.

Solat itu berlangsung di Masjid Al-Jawahir, Taman Mutiara di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham Mohd. Fahami kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin di sini pada pukul 10 pagi.

Upacara pengebumian itu turut dihadiri pegawai-pegawai kerajaan, keluarga dan sahabat Allahyarham.

Antara yang hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Allahyarham yang berusia 45 tahun dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang.

Sementara itu, Tosrin menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat kerajaan negeri dan masyarakat Islam khususnya di negeri ini.

“Beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang gigih menjalankan tugas dan membantu ramai pihak khususnya dalam hal-hal berkaitan agama serta dakwah.

“Mewakili kerajaan negeri saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sama-sama hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Amir Fuhaira, 18, memberitahu, dia dimaklumkan berhubung perkara itu oleh bapa saudaranya.

“Saya berada di Terengganu ketika dimaklumkan berhubung perkara ini sebelum terus mendapatka penerbangan untuk pulang ke Johor Bahru.

“Kali terakhir kami bertemu adalah pada Jumaat lalu, saya ingat dia ada berpesan agar menjaga diri baik-baik kerana saya sudah dewasa,” ujarnya yang merupakan anak sulung daripada daripada empat beradik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN