JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung langkah pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura bagi fasa seterusnya.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha itu bagi membolehkan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu dapat kembali bekerja sekali gus mengelakkan mereka hilang pekerjaan.
“Lebih 35,000 hilang pekerjaan di Johor sejak penularan pandemik Covid-19. Sempadan tidak dapat lagi dibuka (sepenuhnya) bagi membolehkan mereka bekerja semula di Singapura.
“Hampir 250,000 orang yang biasanya berulang alik secara harian ke Singapura tidak dapat berbuat demikian kerana sempadan masih tidak dibuka (sepenuhnya) yang tentunya terjejas akibat Covid-19.
“Saya sendiri telah maklumkan Perdana Menteri yang tentunya akan lebih faham keadaan kita di Johor betapa pentingnya membuka semula sempadan. Ini kerana ekonomi negeri Johor bergantung secara langsung dengan ekonomi negara jiran Singapura,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasni menambah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengarahkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyegerakan usaha pembukaan sempadan bagi fasa berikutnya.
“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan peroleh jawapannya,” katanya.
Pada 17 Julai lalu, sempadan Malaysia-Singapura dibuka secara rasmi menerusi fasa pertama namun hanya membabitkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu. – UTUSAN ONLINE