KUANTAN: Bersempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-63 semalam, pelbagai pihak tampil dengan kreativiti masing-masing bagi menunjukkan semangat patriotisme dan kecintaan mereka terhadap tanah air tercinta ini.
Bagi Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang, mereka mencipta kelainan mengadakan program kayuhan yang mengumpul pencinta basikal klasik dari seluruh negeri ini berarak di sekitar bandar ini bermula pukul 8 pagi sambil melaungkan ‘merdeka’ serta membunyikan loceng basikal masing-masing.
Lebih menarik, kayuhan santai berkenaan turut disertai ‘Lady Swift’ iaitu basikal klasik berasal dari Amerika Syarikat (AS) berusia 100 tahun yang mendapat perhatian orang ramai yang mengunjungi Taman Kerang di sini.
Pengerusi Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang yang juga pemilik ‘Lady Swift’, Azizan Mansor, 65, berkata, biarpun usia sudah satu abad, semua komponen pada basikal klasik itu masih ‘original’.
“Sudah tujuh tahun saya jaga basikal klasik ini, tiada siapa boleh menungangnya. Saya beli di AS dengan harganya pada waktu itu kira-kira RM30,000.
“Saya bawa ‘Lady Swift’ pada hari ini bersama basikal-basikal klasik lain sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an untuk dikayuh sempena hari kemerdekaan di sekitar Kuantan,” katanya ketika ditemui di Taman Kerang di sini semalam.
Azizan berkata, sejumlah 30 basikal klasik pelbagai jenama menyertai program berkenaan yang bertujuan mengembalikan nostalgia kemeriahan menyambut kemerdekaan suatu ketika dahulu kepada generasi muda. – UTUSAN