Koperal polis ditahan tipu selesai saman - Utusan Malaysia

Koperal polis ditahan tipu selesai saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ambil ‘upah’ RM500 bantu selesai saman.

Itu helah seorang koperal polis yang kononnya mampu menyelesaikan bayaran saman trafik apabila kegiatannya terbongkar selepas ditahan kerana disyaki menipu orang awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, polis menerima laporan daripada seorang pemandu lori berusia 46 tahun yang memaklumkan ke kaunter Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membuat semakan saman anaknya pada 17 September lalu.

“Selepas semakan dilakukan, mangsa didapati mempunyai keseluruhan saman berjumlah RM1,120 sebelum ditegur oleh suspek dengan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan saman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee memberitahu, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek yang mendakwa akan menyelesaikan saman berkenaan dalam tempoh tiga hari kemudian memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun anggota polis terbabit.

“Selepas tempoh berkenaan, mangsa dapati saman itu tidak selesai menyebabkannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.

“Susulan itu, polis menahan anggota polis terbabit yang bertugas di Bahagian Trafik IPD Petaling Jaya pada pukul 7.30 malam tadi,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee, hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap suspek turut mendapatinya positif dadah jenis methaphetamine.

“Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai digalak melakukan urusan semakan saman secara dalam talian dengan melayari laman sesawang https://www.rilek.com.my atau https://www.myeg.com.my selain khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 15888,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nik Ezanee mengingatkan bagi urusan pembayaran saman, orang ramai hanya boleh membuat bayaran di mana-mana kaunter trafik (COPS) di seluruh negara.

“Kami mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pembayaran saman di Pejabat Kemalangan (EO) Trafik.

“Sebarang urusan pembayaran saman hanya boleh dibuat melalui COPS dengan dibekalkan resit rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN