ALOR SETAR: Kedah Medical Centre (KMC) giat menjalankan proses pembersihan dan sanitasi membabitkan bilik pembedahan di pusat perubatan itu ekoran jangkitan Covid-19 membabitkan dua kakitangannya .
Pusat perubatan swasta itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, dengan perkembangan semasa itu, KMC terpaksa menjadualkan semula semua pembedahan sejak 6 September lepas.
“Perkhidmatan lain termasuk pesakit luar dan rawatan di wad diteruskan seperti biasa,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, KMC turut mengesahkan dua kakitangannya dijangkiti Covid-19 setelah ujian saringan dijalankan ke atas mereka pada 5 September.
“Kes indeks adalah kakitangan KMC yang mempunyai gejala Covid-19 sementara kes kedua mempunyai kontak dengannya.
“Keduanya disahkan positif dan kes diserahkan kepada Kementerian Kesihatan,” ujarnya.
Tambah beliau, KMC berterusan melaksanakan pembersihan dan sanitasi di seluruh kawasan terjejas di pusat perubatan itu.
“Selain itu KMC juga mengambil langkah sepatutnya dengan mengenal pasti semua kontak pesakit itu,” katanya.
Kementerian Kesihatan semalam memaklumkan bahawa satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah.
Kluster Sungai merupakan kluster keenam yang dikesan di Kedah sejak 28 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE