KUALA LUMPUR: Manuskrip Salasilah Perlis yang tersimpan rapi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1963 lagi menjadi bukti bahawa kerajaan Melayu beraja bukan wujud secara kebetulan.
Salasilah Perlis yang dikarang oleh keturunan Datuk Arau mencatatkan asal usul dan sejarah pemerintahan wangsa Jamalullail di Perlis.
Pengasasan Kerajaan Jamalullail di Perlis telah mengeluarkan negeri itu daripada kemelut persaingan kuasa, merencatkan cita-cita politik Raja Ligor dan menghadkan hegemoni Wangsa Chakri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, salasilah Perlis bukti keupayaan negeri itu untuk berkerajaan sendiri pada tahun 1843 bukanlah satu kebetulan.
“Sebaliknya, kewujudannya sebagai negeri Melayu beraja ialah hasil wawasan, usaha dan perjuangan berterusan anak watan Melayu-Islam bagi menegakkan kedaulatan dan membawa kemakmuran tanpa mengenal erti putus asa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat merasmikan ‘Wacana Jamalullail: Salasilah Perlis Dan Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunah Waljamaah Dalam Perlembagaan Negeri Perlis’ yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada petang kelmarin.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.
Turut hadir ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamad.
Wacana tersebut dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Persatuan Perlis Kuala Lumpur.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, Islam datang bersama ‘cahaya’ dan membina bangsa yang berakhlak dan merupakan agama kesucian jiwa, keindahan perilaku, kecerdasan, keramahan serta kelapangan.
“Kedudukan seseorang raja dalam Islam adalah tinggi dan utama. Hal ini kerana, peranan raja bukanlah semata-mata bagi menjaga hal urusan pentadbiran negerinya malah bertanggungjawab menentukan hala tuju kedudukan agama Islam yang sudah semestinya perlu dipelihara kesuciannya serta memantau hal ehwal berkaitan dengannya.
“Secara umumnya, raja merupakan pemimpin tertinggi dengan berbagai gelaran seperti imam, khalifah serta Amirul Mukminin,” tambah Tuanku Raja Muda Perlis.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Awang memaklumkan bahawa program ini merupakan pentas ilmu yang mengetengahkan sejarah pembentukan negeri Perlis di bawah wangsa Jamalullail serta hubungan di antara Institusi Raja Pemerintah dengan Perlembagaan Negeri dan agama anutan, yakni agama Islam yang berpegang kepada ‘manhaj Ahli Sunah Waljamaah’.
Pengarang iaitu Pengarah JAIPs, Dr. Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor telah berjaya mengupas dan membentangkan mengenai kedua-dua buah buku yang diterbitkan oleh DBP dan kini sudahpun berada di dalam pasaran.
Kewujudan negeri Melayu beraja bukan kebetulan
- 28 September 2020, 12:02 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Keretapi mewah E&O Express singgah di Perlis seminggu sekali sehingga Feb
23 November 2024, 2:17 am
Kelab AiRED perkenal bidang kecerdasan buatan dan robotik pada pelajar
20 November 2024, 9:14 pm
Pengabaian nafkah antara faktor keretakan institusi keluarga – Raja Muda Perlis
17 Oktober 2024, 10:20 pm