IPOH: Suami YouTuber masakan, M. Sugu terpaksa menunggu kira-kira seminggu lagi untuk proses menarik balik pertuduhan mencederakan isterinya, S. Pavithra Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihaknya belum menerima apa-apa arahan untuk menarik balik pertuduhan ke atas Sugu, 29.
Menurutnya, surat rasmi penarikan balik kes daripada isteri tertuduh telah diterima pada 4 September lalu.
“Saya belum menerima arahan lanjut daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk menarik balik kes berkenaan,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini.
Terdahulu, peguam bela Jude Pereira yang mewakili Sugu memberitahu mahkamah bahawa Pavithra, 28, membuat laporan polis untuk menarik balik kes dan menghantar surat rasmi kepada pihak pendakwaan mengenai perkara itu.
Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan kes.
Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan pada bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit dalam kejadian di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara pukul 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.
Sementara itu, mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis perkataan ‘Tiger’ di parkir HRPB pada pukul 6 petang 21 Julai lalu.
Sebelum itu, peguam bela Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi memberitahu mahkamah pihaknya baru dilantik dan memohon masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan kes.
Bagi pertuduhan itu, Sugu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat jika sabit kesalahan. – UTUSAN