Kerajaan rancang tambah kuota RGL, PCA - Utusan Malaysia

Kerajaan rancang tambah kuota RGL, PCA

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan merancang meningkatkan kuota kemasukan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, buat masa kini PCA membenarkan kemasukan sehingga 2,000 individu sehari manakala untuk RGL pula  400 orang seminggu.

“Kita mahu peningkatan sehingga 100 peratus jumlah berkenaan. Ini perlu dilakukan untuk kita mulakan kembali sektor ekonomi dengan sebaiknya.

“Namun masyarakat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan bagi mengekangCovid-19,” katanya selepas Majlis Perasmian Lego Mural untuk menghargai petugas barisan hadapan Covid-19 di Legoland Malaysia Resort di sini hari ini. 

RGL membabitkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi manakala PCA untuk penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Menurut beliau, diakui keperluan pembukaan sempadan kerana ia melibatkan kepentingan sektor ekonomi dan kehidupan rakyat tetapi perlu diseimbangkan dengan aspek kesihatan awam.

Katanya, tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember adalah waktu penting untuk menentukan perkara itu. 

Dr. Adham turut berkata, keputusan untuk membenarkan pembukaan semula sempadan perlu mengikut data dan peraturan agar tidak timbul masalah kepada rakyat pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya akan terus meminta pusat agar membuka semula sempadan Malaysia-Singapura pada kadar segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN