ALOR SETAR: Kerajaan negeri menafikan dakwaan terdapat kerenah birokrasi hingga bantuan lambat disampaikan kepada penduduk yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di sini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dan mengambil langkah terkehadapan untuk menyampaikan bantuan dan tidak timbul isu kelewatan bantuan.
“Kadang-kadang memang ada ‘cerita’ yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab untuk gambarkan kerajaan negeri lambat dan tidak bersedia,” katanya sinis.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai pelaksanaan pengawasan ketat terhadap penduduk Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di sini hari ini.
Selain itu, Muhammad Sanusi turut menyerahkan sumbangan wang tunai untuk berjumlah RM17,600 kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd. Asri Redha Abdul Rahman untuk diagihkan kepada 88 keluarga di rumah pangsa tersebut.
Tambahnya, setakat ini kerajaan negeri telah dua kali mengedarkan bakul makanan kepada penduduk di situ termasuk ketika Temco dilaksanakan di seluruh Kota Setar sebelum ini.
“Pagi ini, kita selaraskan pula bantuan keperluan khusus seperti lampin bayi dan dewasa serta susu,” katanya.
Beliau dalam pada itu kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang terus menyerang pentadbirannya dengan isu-isu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Macam sebelum ini masih terdapat pihak yang mendesak supaya kita umumkan Temco di kawasan-kawasan tertentu sedangkan dah banyak kali dinyatakan, kuasa mengumumkan Temco terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.