KPI baharu buat KSU, KP  - Utusan Malaysia

KPI baharu buat KSU, KP 

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baharu kepada semua ketua setiausaha dan ketua pengarah di setiap kementerian serta agensi yang bernaung di bawahnya. 

Cadangan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang mahu setiap projek kerajaan yang dijadualkan dapat disiapkan dalam masa ditetapkan walaupun berdepan ancaman wabak Covid-19.

Jelasnya, KPI itu bagi membolehkan pelaksanaan penilaian yang lebih baik dalam perkhidmatan awam sekali gus mengubah budaya kerja lama ke arah lebih pantas. 

“Saya tetapkan KPI itu kepada KSU dan KP bagi bersama-sama menggerakkan ekonomi. Kalau gagal mencapai tujuan itu,  mereka hendaklah memberi sebab serta alasan munasabah untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa di peringkat saya dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),” katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program kelestarian Malaysiaku Indah di Taman Wetland,  Putrajaya di sini hari ini. 

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. 

Menerusi program itu, pihak kerajaan menyasarkan sebanyak 100 juta pokok ditanam di seluruh negara bagi menyokong aspirasi kerajaan menghasilkan ekosistem hijau yang lebih mampan. 

Sebanyak lima pokok Penaga Lilin atau nama saintifiknya Mersua Ferrea ditanam sebagai simbolik menyahut usaha melestarikan alam sekitar agar pembangunan negara dapat diseimbangkan antara pembangunan fizikal serta kemandirian alam. 

Dalam pada itu,  mengulas mengenai sejuta rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan akibat diberhentikan kerja,  Mohd. Zuki berkata, kerajaan akan mengumumkan inisiatif dalam jangka masa terdekat.

“Kerajaan mengambil berat dan memberikan perhatian serius terhadap masalah ini dan banyak usaha dilakukan bagi menggerakkan ekonomi golongan yang terjejas disebabkan hilang pekerjaan.

“Tetapi saya tidak boleh beritahu lagi apakah tindakan itu, namun kita dalam perancangan dan akan mengumumkannya nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya