KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said serta dua lagi untuk membatalkan saman pemula bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dibuat 10 November ini.
Turut memfailkan permohonan membatalkan saman itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Hakim Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Pada 23 Julai lalu, Tun Mahathir dan empat lagi iaitu Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md. Salleh selaku plaintif memfailkan saman pemula itu bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina yang didakwa tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.
Selepas peralihan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Pakatan Nasional (PN), Azhar dilantik mengantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusuf sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat manakala Azalina menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azhar dan Mohd. Rashid menghujahkan, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk masuk campur dalam urusan perjalanan dan pengurusan Parlimen.
Ini kerana Parlimen mempunyai bidang kuasa eksklusif dan hak mutlak dalam menjalankan prosiding hariannya.
“Selagi urusan yang dijalankan adalah dalam ruang lingkup kuasa Parlimen, walaupun (terdapat pihak) tidak berpuas hati, mahkamah tiada bidang kuasa untuk masuk campur atau memberi sebarang nasihat. Saman pemula yang difailkan adalah sesuatu yang tidak boleh diputuskan oleh mana-mana mahkamah,” kata peguam terbabit.
Turut hadir pada prosiding semalam, Tania Scivetti yang mewakili Azalina dan Nizam Mydin.
Azhar dan Mohd. Rashid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu pada 7 Ogos lalu manakala Azalina dan Nizam Mydin memfailkan permohonan serupa pada 12 Ogos 2020.
Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla menghujahkan, mahkamah selaku cabang ketiga Kerajaan mempunyai tugas untuk melakukan `mekanisme semak dan imbang’.
“Sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, mahkamah mempunyai tugas untuk memastikan cabang Perundangan dan Eksekutif mematuhi dan bergerak dalam ruang lingkup kuasa mereka. Mahkamah tidak melanggar pengasingan kuasa (separation of powers) apabila bertindak untuk memastikan perlembagaan dan undang-undang dipatuhi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri,” hujahnya.
Tambahnya, Dewan Rakyat ketika itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk melantik Azhar dan Azalina ekoran kesemua plaintif dan ahli-ahli parlimen yang lain dihalang untuk mengemukakan calon mereka dalam tempoh 14 hari seperti mana yang diperuntukkan.
Selain menuntut deklarasi bahawa pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah, kesemua plaintif turut memohon agar kesemua ahli Dewan Rakyat diberi peluang mencalonkan pilihan masing-masing bagi jawatan itu.
Plaintif turut menuntut pengisytiharan kerusi Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia kosong sejak 13 Julai 2020. – UTUSAN