KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan akan membersihkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada sebarang masalah salah laku sebelum membanteras kegiatan jenayah di negara ini.
Antara langkah pertama yang akan diambil adalah rombakan besar-besaran membabitkan pegawai kanan termasuk Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Balai di Selangor pada 9 September ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Hamid berkata, menjadi tanggungjawab beliau untuk tidak melindungi sebarang salah laku melibatkan pegawai dan anggota.
Ujarnya, selain tindakan tatatertib, rombakan tersebut dibuat ekoran persaraan dan tempoh perkhidmatan yang agak lama pegawai serta anggota di kawasan dikenal pasti.
“Sebelum banteras pelbagai kegiatan maksiat dan perjudian, kita kena kemaskan dahulu dalam ‘rumah’, termasuk pegawai dan anggota. Tidak dinafikan penglibatan anggota berpangkat rendah dalam kesalahan tatatertib kerana jumlahnya banyak berbanding pegawai kanan.
“Pertukaran ini bukan sahaja melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tetapi semua IPD di negeri itu.
“Saya dapati ada dalam kalangan mereka ini telah bertugas selama tiga tahun atau lebih, jadi itu yang akan kita ambil perhatian,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Media Mulia, semalam.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai siasatan yang dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Stan-dard (JIPS) Bukit Aman terhadap IPD Sungai Buloh, Abdul Hamid memberitahu, keadaan di situ tidak seburuk seperti yang disangka oleh masyarakat.
“Pihak JIPS telah lakukan siasatan dengan mantap. Selain itu saya juga telah bercakap dengan OCPD supaya jangan cepat melatah yang mana sekira berlaku apa-apa dakwaan ditempat mereka, sepatutnya siasat dahulu.
“Setakat ini, semua pegawai dan anggota di IPD berkenaan masih bertugas seperti biasa dengan pemantauan berterusan daripada pihak JIPS. Sekiranya ada maklumat tambahan, kita akan ambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi Mohd. Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Susulan itu, Bukit Aman dan JIPS menjalankan siasatan dengan meneliti beberapa dokumen mengenai siasatan serta serbuan yang dijalankan ke atas premis perjudian untuk 2019 dan tahun ini di IPD berkenaan.
Perkara itu bagi memastikan pucuk pimpinan PDRM berlaku adil dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan salah laku pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh berhubung isu perjudian itu. – UTUSAN