Kakitangan JPN didakwa terima rasuah RM16,000 - Utusan Malaysia

Kakitangan JPN didakwa terima rasuah RM16,000

Mohd. Fazdly Abdul Razak didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 September 2020 atas tuduhan rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penolong Pegawai Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,000  dua tahun lalu. 

Tertuduh, Mohd. Fazdly Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah di atas ketiga-tiga pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menerima suapan  RM10,000 didepositkan ke dalam akaunnya oleh seorang lelaki yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan beliau di sebuah bank tempatan di Masai pada 13 Jun 2018.

Dia turut didakwa menerima wang  RM1,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama di sebuah bank tempatan di Taman Johor Jaya pada 4 Julai 2018.

Pertuduhan ketiga, Fazdly dituduh menerima wang berjumlah RM4,500 didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama di sebuah bank tempatan di Masai pada 18 Julai 2018.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 namun tertuduh merayu dikurangkan dengan alasan dia terpaksa menggadai tanah pusaka di kampung selain  menanggung tiga anak berusia  tujuh hingga 14 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali dalam setiap bulan. 

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Oktober ini bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN