Kaji pesara tentera ganti pengawal keselamatan warga asing - Utusan Malaysia

Kaji pesara tentera ganti pengawal keselamatan warga asing

SARAVANAN (tengah) menyampaikan Pakej Ransangan Ekonomi Penjana kepada majikan dan pekerja dalam Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput 2020 di Sungai Siput, Perak hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kementerian Sumber Manusia bercadang menjenamakan semula tugas dan peranan pengawal keselamatan dengan menggunakan khidmat pesara tentera bagi menggantikan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, langkah itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada anggota tentera yang bersara awal malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dari luar.

Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian telah diminta mengkaji cadangan tersebut seterusnya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan.

“Mereka ini (pesara tentera), umur 40 tahun sudah bersara dan sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan lain. Jadi, ini satu masalah yang besar.

“Oleh itu, kita perlu kaji semula pengambilan pengawal keselamatan, apabila mereka keluar sebagai pesara tentera kita ambil pendekatan dengan mengambil mereka untuk tugas itu,” katanya berucap ketika merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput 2020 di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

Program PenjanaKerjaya yang bermula 15 Jun lalu telah diadakan di empat lokasi lain iaitu di Tapah, Melaka, Hulu Selangor dan Seremban dengan merekodkan 12,940 majikan membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja dan 41,696 orang telah diambil bekerja.

Saravanan berkata, imej pengawal keselamatan juga perlu berubah agar dilihat lebih berkredibiliti setanding dengan negara luar termasuk dari segi pemakaian, insentif dan pendapatan.

“Kita mahu pengawal keselamatan di negara ini dengan imej yang baik. Jadi kita perlu kaji untuk tingkatkan pendapatan mereka, tukar pakaian seragam, beri imej baharu dan bukannya hanya dilihat duduk dengan senapang patah di hadapan kedai-kedai emas.

“Sudah sampai masanya untuk kita beri imej baharu dan kalau boleh institusi perbankan dan kedai-kedai emas mengambil pengawal keselamatan di bawah umur 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang akhbar Saravanan berkata, pihaknya menerima permintaan daripada syarikat-syarikat keselamatan untuk membawa masuk pengawal keselamatan warga asing termasuk dari Nepal namun penularan wabak Covid-19 menyebabkan ia tidak dapat dilakukan.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kita kena ada pelan B kerana dengan keadaan hari ini, mungkin kita tidak sempat bawa masuk (pekerja asing). 

“Jadi sehingga menunggu kelulusan itu, kita perlu lahirkan peluang-peluang pekerjaan khususnya kepada tentera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya