Johor lantik Mejar Cina - Utusan Malaysia

Johor lantik Mejar Cina

ABDUL RAHIM RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik Pengurus Ladang Sawit Mado’s, David Wong Khoong Soon sebagai Mejar Cina berkuat kuasa semalam.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Ibrahim dengan hak dan kuasa baginda di bawah Fasal (2) (b) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri
Johor 1895 melantik Khoong Soon yang merupakan keturunan Wong Ah Fook.

Kata Abdul Rahim, Khoong Soon menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan lain-lain Yayasan Diraja Johor serta pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat.

“Ia dalam mengenal pasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakanpengagihan kurniaan keperluan makanan dan lain-lain kepada bangsa Johor khasnya masyarakat Cina di dalam daerah menjalankan tugas itu.

“Mejar Cina Wong Khoon Soon tidak disifatkan sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak imbuhan, kemudahan atau keistimewaan,” katanya dalam ke nyataan di sini
semalam.

Terdahulu, Abdul Rahim memaklumkan, Sultan Ibrahim berkenan terhadap gelaran Mejar Cina itu yang pernah dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar untuk dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah
Johor moden.

Katanya, Sultan Abu Bakar pernah melantik Kangcu Kangkar Tebrau, Tan Hiok Nee dan Kangcu Kangkar Skudai masing-masing sebagai Mejar Cina dan Kapitan Cina serta menjadikan mereka sebagai Ahli Dewan Negeri mewakili masyarakat Cina.

Menurut beliau, Temenggong Daeng Ibrahim pada 1840 membenarkan pengikut baginda bangsa Cina berpindah dari Singapura ke tanah besar Johor dan membuka penempatan dinamakan Kangkar di tebing Sungai Tebrau.

“Pada 1870, terdapat 29 Kangkar di Johor. Masyarakat Cina dibenarkan menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

“Seorang ketua dalam kalangan penduduk Kangkar sebagai Kangcu dilantik mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

“Mereka yang berkebolehan di antara Kangcu dilantik sebagai Kapitan Cina dan Mejar Cina,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, antara tugas mereka adalah menjadi perantaraan bagi menyalurkan sebarang titah raja kepada rakyat khasnya bangsa Cina dan mendapatkan maklum balas untuk dijadikan asas perancangan serta menentukan mereka tidak dipinggirkan.

“Selain itu, ia bagi membentuk masyarakat, mengukuhkan perpaduan dengan Maharaja Abu Bakar menjemput lebih ramai orang Cina, orang kepulauan Indonesia, India dan negeri-negeri Melayu untuk bermastautin dan bekerjasama membangunkan Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN