KUALA LUMPUR: Kredibiliti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipertikai dalam memainkan peranan kukuh dan berkesan bagi menyelesaikan isu Palestin dan krisis etnik Rohingya yang masih berlanjutan sehingga kini.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, salah satu kegagalan PBB adalah berhubung penjajahan haram Israel di wilayah Palestin dan organisasi dunia itu seolah-olah tidak mempedulikan suara majoriti masyarakat antarabangsa.
Bercakap dalam Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi Ke-75 di New York, Muhyiddin berkata, pendirian Malaysia tidak berganjak malah konsisten dalam mempertahankan hak Palestin kerana sebarang pencabulan mana-mana wilayah secara perang dan paksa tidak boleh diterima dan menyalahi undang-undang.
Kata beliau, Israel terus mengancam dengan penguasaan tanah Palestin lebih jauh sekali gus menafikan keamanan dan perdamaian manusia yang jelas sekali melanggar Piagam PBB, Konvensyen Geneva dan resolusi relevan Majlis Umum dan Majlis Keselamatan.
“Malaysia akan terus menegaskan sokongan untuk merealisasikan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967.
“Malaysia menyokong seruan masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan yang boleh dipersetujui bersama dan perundingan perdamaian demi menegakkan hak sah Palestin yang merupakan salah satu prinsip teras PBB ketika ia ditubuhkan 75 tahun yang lalu,” katanya dalam rakaman video dan disiarkan dalam laman web TV United Nations di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, rayuan masyarakat Rohingya di Rakhine juga adalah antara contoh jelas membuktikan kegagalan PBB.
Beliau berkata, tragedi menimpa etnik itu turut memberi kesan ke atas Malaysia dan negara jiran, apabila lambakan pelarian kaum berkenaan melarikan diri bagi menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.
Menurut beliau, persoalan yang timbul ketika ini ialah apakah peranan boleh dimainkan komuniti antarabangsa dalam menghentikan kekejaman di Rakhine.
Beliau menjelaskan, Malaysia ketika ini adalah tuan rumah kepada jumlah terbesar pelarian Rohingya di Asia Tenggara meliputi 86 peratus daripada
hampir 180,000 pelarian berdaftar dan pemohon suaka, namun sumber kewangan Malaysia sebagai sebuah negara membangun semakin berkurangan untuk menampung kos pengurusan dan perlindungan kepada pelarian.
Dalam hal itu, Muhyiddin mempersoalkan adakah satu keadilan kepada Malaysia yang masih tetap diharapkan untuk menerima lebih ramai pelarian di negara ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia tetap mengambil tanggungjawab daripada aspek kewangan dan sosial bagi membantu etnik Rohingya yang melarikan diri ke negara ini, walaupun tidak tertakluk kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.
Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya untuk anggota Konvensyen sama-sama memikul beban dan tanggungjawab dalam menangani masalah berkenaan.
“Sudah tiba masanya mereka membuka pintu untuk menerima pelarian dan menguruskan penempatan semula etnik berkenaan. Lambakan pelarian di sempadan kami hanyalah antara kisah yang ada.
“Ini adalah antara dua bukti jelas, mengapa PBB perlu lebih ampuh, kredibiliti organisasi ini boleh dan perlu dikembalikan dalam membentuk masa depan yang kita mahukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE