Isu Mohamaddin, Warisan mohon maaf - Utusan Malaysia

Isu Mohamaddin, Warisan mohon maaf

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa tragedi serangan di Lahad Datu satu sandiwara untuk menyelamatkan UMNO.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kenyataan tersebut disalah erti dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan perajurit dan anggota keselamatan.

“Saya selaku Presiden Parti Warisan Sabah dan Ketua Menteri Sabah ingin memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan seorang pemimpin parti baru-baru ini.

“Kenyataan beliau yang dikeluarkan secara spontan disalah ertikan dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dikecam oleh pelbagai pihak apabila menyifatkan peristiwa berdarah di Kampung Tanduo pada tahun 2013 sebagai sandiwara.

Shafie kemudian mengumumkan peruntukan RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagihkan kepada pekerja barisan hadapan.

“Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua pekerja barisan hadapan termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi. Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia.

Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara, namun itu membuktikan komitmen kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan,” jelas Ahli Parlimen Semporna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN