Individu dikuarantin boleh mengundi - Utusan Malaysia

Individu dikuarantin boleh mengundi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang menjalani perintah kua­ran­tin akan dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini jika memperoleh kebenaran daripada pejabat ke­sihatan daerah.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital tidak dibenarkan sama sekali keluar mengundi.

“Selepas mendapat kebenaran, mereka perlu hadir dan mengundi di tempat khas yang akan disediakan oleh SPR,” katanya mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Beliau berkata, semua sekolah yang digunakan untuk proses pengundian akan disa­nitasi sebelum digunakan pada hari pengundian manakala prosedur operasi standard (SOP) berhubung proses pengundian boleh dirujuk di laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara dan SPR.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi pengundi biasa, mereka digalakkan hadir mengundi seperti waktu yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan kesesakan serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri dan memakai pelitup muka.

Mengenai kempen PRN Sabah yang kini memasuki fasa terakhir sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, beliau meminta semua parti politik supaya mengurangkan aktiviti kempen dari rumah ke rumah.

“Jika perlu, hanya seorang atau dua sahaja dibenarkan masuk ke rumah bagi menjalankan kempen dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal. Aktiviti ceramah dihadkan hanya kepada 30 orang sahaja,” katanya.

Sementara itu, individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, sebaliknya hanya individu yang bergejala diwajibkan menjalani ujian calitan (swab test) apabila tiba di pintu masuk lapangan terbang.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, bagi individu yang tidak bergejala mereka juga digalakkan menjalani ujian calitan tersebut bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat khas semalam bersetuju untuk membenarkan premis sukan beroperasi sehingga pukul 2 pagi dan semua pihak terlibat sama ada pemain, pengurus premis dan mereka yang hadir masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN