KLANG: Seorang remaja sanggup menjual badan kepada teman lelakinya semata-mata untuk mendapatkan bekalan dadah.
Perbuatan remaja terbabit dan teman lelakinya terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Klang di sekitar daerah ini dalam tangkapan berasingan semalam.
Menurut sumber, kegiatan tidak bermoral kedua-dua mereka yang berusia 16 tahun dan 21 tahun itu berlarutan sejak setahun lalu.
Jelas sumber tersebut, remaja perempuan itu berkenalan dengan teman lelakinya yang berasal dari Tawau, Sabah sejak kecil berikutan tinggal di kawasan perumahan yang sama.
“Jarak antara rumah mereka kira-kira 300 meter dan dipercayai melakukan hubungan seks serta aktiviti penagihan dadah setiap dua kali seminggu berikutan bapa remaja terbabit bekerja di luar kawasan.
“Remaja perempuan terbabit adalah anak tunggal dan tinggal bersama bapanya yang merupakan pemandu lori selepas kematian ibunya empat tahun lalu.
“Remaja tersebut dipercayai terjebak dengan dadah selepas diajar teman lelakinya sejak setahun lepas sebelum diminta habuan seks setiap kali remaja berkenaan ketagih dadah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jelas sumber itu, suspek lelaki tersebut membeli sepeket syabu berharga RM100 menerusi perkongsian bersama 10 rakannya dengan setiap seorang perlu membayar RM10.
“Remaja wanita tersebut sebelum ini pernah dihantar ke pusat pemulihan akhlak selama enam bulan, tahun lalu oleh bapanya dan dalam proses pertukaran ke sekolah baharu.
“Selain itu, teman lelaki remaja itu yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik mengakui warganegara namun tidak mempunyai sebarang kad pengenalan dan rekod di Jabatan Pendaftaran Negara.
“Lelaki terbabit mendakwa dibawa ke Semenanjung dari Sabah sejak berusia empat tahun oleh bapanya serta terlibat dalam penagihan dadah sejak berusia 14 tahun,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Operasi AADK Klang, Ezwan Shahrin Saihani mengesahkan tangkapan pasangan kekasih itu bersama enam lagi individu berusia 16 tahun hingga 54 tahun dalam operasi bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang. – UTUSAN ONLINE