KUALA LUMPUR: Utusan Malaysia hari ini menafikan mempunyai kaitan dengan hantaran yang dimuat naik dalam Facebook menggunakan nama ‘Utusan Online’ memohon bantuan sumbangan orang ramai untuk seorang kanak-kanak menghidap penyakit jantung.
Laman sosial Facebook palsu itu hampir menyerupai Facebook Utusan Online sebenar dan menggunakan logo Utusan Digital.
Menerusi hantaran yang dimuat naik, individu tidak bertanggungjawab mendakwa kanak-kanak itu menghidap penyakit jantung sejak lahir memerlukan bantuan sebanyak RM80,000.
Hantaran tersebut turut memuat naik gambar kanak-kanak yang dikatakan bernasib malang tersebut beserta nombor akaun.
Sehubungan itu, Utusan Malaysia menggesa orang ramai lebih berhati-hari dan memeriksa terlebih dahulu sebarang berita atau hantaran yang dimuat naik di media sosial.
Facebook Utusan Online mempunyai lebih dua juta pengikut manakala Facebook palsu berkenaan setakat hari ini hanya 47 pengikut. – UTUSAN ONLINE