Empat ditangkap, enam kes pecah premis perniagaan di Nilai, Seremban dan Kajang selesai - Utusan Malaysia

Empat ditangkap, enam kes pecah premis perniagaan di Nilai, Seremban dan Kajang selesai

Mohd. Nor Marzukee Besar (tengah) menunjukkan sepucuk pistol dan peluru yang dirampas hasil penangkapan seorang lelaki warga tempatan dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan, Balai Polis Nilai, hari ini.- FOTO: BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditangkap sekali gus menyelesaikan enam kes pecah dan curi premis perniagaan di daerah Nilai, Seremban dan Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kesemua mereka ditangkap di sekitar Semenyih, Selangor hasil satu operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dengan bantuan Cawangan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada 17 September lalu.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, polis berjaya merampas 29 utas jam tangan pelbagai jenama, 15 karton dan 113 kotak rokok pelbagai jenama, tiga unit telefon bimbit, satu unit komputer riba, satu unit mesin pencetak dan peralatan pecah rumah.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan bergerak secara berkumpulan dan menyasarkan premis perniagaan seperti kedai jam, kedai serbaneka dan farmasi. Waktu utama kumpulan ini memecah masuk dan curi adalah sekitar pukul 10 malam sehingga 6 pagi dan kesemua hasil curi akan dijual kepada individu dan premis perniagaan di sekitar Semenyih.

“Polis percaya, dengan tertangkapnya kumpulan penjenayah ini, kita dapat menyelesaikan enam kes pecah dan curi premis perniagaan yang berlaku iaitu empat kes di daerah Nilai, satu kes di Seremban dan satu kes di Kajang. Jumlah kerugian keseluruhan untuk semua kes adalah dianggarkan sebanyak RM156,000,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan, Balai Polis Nilai di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 32 hingga 44 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine selain turut mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula 17 September lalu bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nor Marzukee turut memaklumkan pihaknya turut telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dan merampas sepucuk pistol, tiga kelopak peluru dan 14 butir peluru hasil satu operasi khas yang dijalankan pada 19 September lalu di sebuah rumah di Kampung Baru, Broga, Negeri Sembilan.

“Operasi tersebut adalah hasil maklumat daripada orang awam. Suspek merupakan seorang kontraktor perlombongan yang mempunyai rekod jenayah lampau iaitu satu rekod dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan satu rekod di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

“Pihak polis sedang menyiasat dari mana senjata tersebut diperoleh dan tujuan suspek memiliki senjata tersebut. Suspek direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN