JOHOR BAHRU: Terdapat pihak mengambil kesempatan menawarkan peluang pekerjaan palsu khususnya ketika orang ramai terdesak mendapatkan pekerjaan.
Modus operandi mereka adalah meminta pemohon yang berminat bekerja di sebuah kapal pesiaran memasukkan RM250 secara dalam talian ke akaun sebuah syarikat milik suspek.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, perkara itu terbongkar berikutan penahanan tiga lelaki dan seorang perempuan di sebuah pasar raya di Plentong, dekat sini semalam.
“Semasa tangkapan dibuat, seorang suspek sedang menjalankan sesi temuduga bagi menawarkan peluang pekerjaan di atas kapal persiaran yang tidak wujud.
“Penipuan suspek adalah dengan menaiki sebuah kapal persiaran di Terminal Feri Pasir Gudang pada 15 September ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, siasatan di Terminal Feri Pasir Gudangmendapati tiada mana-mana operator perkapalan di terminal itu yang menawarkan pekerjaan pada tarikh berkenaan.
“Malah tiada juga sebarang aktiviti turun naik kapal persiaran dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ujarnya.
Beliau meminta mana-mana individu yang pernah berurusan dengan suspek untuk tampil membantu siasatan.
Kesemua suspek dikenakan tahanan reman manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE