SUNGAI PETANI: Empat beradik yang disyaki penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda dalam Operasi Cegah di tujuh lokasi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Mukim Sungai Petani di sini semalam.
Ketua Pegawai AADK daerah itu, Arnida Ishak berkata, empat beradik terbabit yang berusia 28 tahun hingga 42 tahun ditahan di rumah mereka di Kampung Bukit Sera di sini.
Katanya, mereka ditahan dalam operasi itu yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
“Ketika ditahan, ibu dan dua kakak kepada empat beradik itu juga berada dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Turut bersama dalam operasi itu Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Nasru’ddin Abdul Rahman.
Dalam operasi tersebut, AADK Daerah Kuala Muda menahan seramai 21 orang termasuk seorang wanita berusia antara 22 tahun hingga 45 tahun disyaki penagih dadah.
Arnida memberitahu, empat beradik itu didapati positif dadah jenis morphine dan methamphetamine.
Dalam pada itu, menurutnya, kesemua 21 orang yang ditahan termasuk empat beradik tersebut dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda untuk ujian saringan awal air kencing dan hasilnya mereka positif dadah jenis sama.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1 ) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya. – UTUSAN ONLINE