ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mungkin tidak dibubarkan bagi memberi ruang kepada pilihan raya negeri (PRN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau secara peribadi berpandangan langkah tersebut tidak perlu dilaksanakan ketika kerajaan negeri berada dalam keadaan cukup stabil.
“Kita bukan takut kerana sebagai orang politik, kita memang perlu berdepan dengan pilihan raya.
“Tetapi kita tak mahu bazirkan sumber dan masa dalam keadaan kerajaan negeri berjalan dengan stabil. Banyak program sedang berjalan dan berlangsung dengan elok,” katanya dalam sidang akhbar selepas program sambutan 100 Hari Pentadbiran Kedah Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon di sini semalam.
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan barisan Exco kerajaan negeri.
Muhamad Sanusi mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang senada mahukan supaya PRU diadakan awal bagi mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain memperoleh mandat rakyat sepenuhnya.
Begitu pun jelas Mohamad Sanusi, perkara itu akan dibincangkan bersama rakan-rakan parti komponen yang lain di peringkat negeri.
“Yang saya nyatakan ini hanya pandangan peribadi. Jika kepemimpinan parti di peringkat Pusat arahkan supaya kita buat PRN pada masa sama dengan PRU, maka kita akur.
“Kita punya kekuatan di peringkat negeri dan tak ada masalah untuk berdepan pilihan raya. Kerjasama bersama rakan-rakan dalam PN di peringkat negeri juga amat baik malah melebihi jangkaan awal ketika mula-mula saya menjadi Menteri Besar,” katanya.
Ketika ini PN memiliki 23 kerusi di DUN Kedah berbanding 13 yang dimiliki pembangkang. – UTUSAN ONLINE