BUTTERWORTH: Sebanyak dua pusat hiburan di sini diarah tutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Bersepadu Pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa sebanyak lima premis hiburan bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam.
“Dua pusat hiburan berkenaan dikesan melanggar SOP ditetapkan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.
“Selain itu, pekerja premis juga didapati tidak memakai pelitup muka manakala pelanggan juga tidak mendaftar masuk ke premis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan kepada individu membabitkan denda RM1,000 setiap seorang.
Operasi berkenaan turut melibatkan petugas Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai. – UTUSAN ONLINE