SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang memakai gelang putih ditahan kerana dikesan melanggar perintah sekatan dan kuarantin di rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (temco) di Ambangan Heights, Amanjaya di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua penduduk Zon Kenanga itu ditahan di sekitar Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau di sini masing-masing pada pukul 9.20 malam dan 9.45 malam oleh sepasukan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Lelaki pertama yang ditahan berusia 21 tahun dikatakan keluar dari kawasan Temco untuk membeli rokok selain semakan mendapati dia yang tidak bekerja pernah ditangkap kerana melakukan kesalahan sama pada 3 September lalu.
“”Suspek kedua pula berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dia memberi alasan mahu keluar membeli makanan yang mana ini merupakan kesalahan pertamanya,” katanya di sini semalam.
Menurut Adzli, dua lelaki terbabit dipercayai keluar dari kawasan PKPD dengan berjalan kaki menggunakan laluan tikus.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Komuniti untuk tindakan lanjut kerana gagal memberikan alasan munasabah berada di luar rumah dalam kawasan jangkitan tanpa tujuan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Sehingga kini seramai 12 individu telah ditahan kerana ingkar arahan kuarantin sejak PKPD dilaksanakan di sini pada 28 Ogos lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE