KUALA LUMPUR: Dua lelaki diburu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki cedera ditembak di Bandar Kinrara, Serdang, minggu lalu.
Lelaki terbabit dikenali sebagai Loo Lai Ming atau dikenali Datuk Michael berusia 40 tahun beralamat Desa Gembira Kondominium Kuala Lumpur dan Choong Aik Boon (Manco@Roy), 48, serta beralamat sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 10 individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Motif kejadian dipercayai berkaitan dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang mana ia didalangi oleh sindiket.
“Siasatan awal bersama pasukan forensik polis Selangor membawa kepada penemuan satu anak peluru di lokasi kejadian dan mangsa dipercayai ditembak seorang suspek lelaki yang menaiki motosikal dari jarak kira-kira enam meter,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Huzir berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga pengatur cara teknologi maklumat (IT) berusia 35 tahun bersama isteri menaiki kereta dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bandar Kinrara.
Katanya, kereta mangsa diekori suspek menaiki motosikal dengan memakai topi keledar dan pelitup muka.
“Setelah sampai ke rumah, mangsa memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar.
“Mangsa yang keluar dari kereta kemudian mendapati objek menyerupai pistol diacukan ke arahnya. Satu das tembakan dilepaskan menyebabkan mangsa cedera di bahagian rusuk kiri,” ujarnya.
Tambah Huzir, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
“Semua suspek ditahan reman seminggu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Aizam Mohamad Razif di talian 014-3372711 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang (03-80742324),” katanya. – UTUSAN ONLINE