Dua didenda RM5,000 miliki daging tidak disembelih - Utusan Malaysia

Dua didenda RM5,000 miliki daging tidak disembelih

NUR Sakinah Abdullah, 54, berbincang bersama Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar, Mohammad Firdaus Mat Ludin (kiri) selepas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam di sini hari ini atas pertuduhan memiliki daging kerbau tidak disembelih pada Januari dan Februari lalu. -UTUSAN/SAIRIEN NAFIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Padah menimpa dua individu termasuk wanita mualaf apabila Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM5,000 atas kesalahan memiliki daging kerbau dan lembu yang tidak disembelih, Januari dan Februari lalu.

Nur Sakinah Abdullah, 54, dan C. Mogan Raj,33, selaku Orang Kena Saman (OKS) diarahkan membayar denda selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar turut mengarahkan kedua-dua individu terbabit dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda selain mengarahkan semua 34 barangan kes yang disita diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk pelupusan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memiliki karkas kerbau dan lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan.

Nur Sakinah didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai kawasan industri di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh pukul 8.20 pagi pada 26 Januari lalu.

Manakala, Mogan pula didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah tapak pasar malam di Shah Alam pukul 3 petang, 19 Februari lalu.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 sekiranya disabit kesalahan mengikut Kaedah 2 (a) , (b) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) (Pindaan) 2008.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut, kedua-dua OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar, Mohammad Firdaus Mat Ludin memohon sebaliknya kerana melibatkan kepentingan awam selain daging tersebut mesti diperiksa dahulu pegawai pemeriksa Jabatan Veterinar sebelum dijual kerana boleh menjejaskan kesihatan orang awam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN