Dua bot, 24 nelayan Vietnam ditahan di perairan Kemaman - Utusan Malaysia

Dua bot, 24 nelayan Vietnam ditahan di perairan Kemaman

SERAMAI 24 nelayan Vietnam termasuk dua tekong ditahan Maritim Malaysia di perairan Kemaman di Kemaman, Terengganu, Khamis lalu. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Mari­tim Malaysia) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 24 kru termasuk tekong di perairan Kemaman, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kedua-dua bot itu ditahan pada jarak 130 dan 131 batu nautika dari Kuala Kemaman antara pukul 10.53 hingga 11.19 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan warga asing termasuk tekong berumur 20 hingga 61 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri di samping permit kebenaran menangkap ikan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui hasil laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan  bernilai hampir RM3 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Maritim Malaysia zon itu untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM6 juta manakala awak-awak pula sehingga RM600,000 di samping kesemua peralatan dan bot boleh dilucutkan hak.

Menurut Rashidilhadi, sejak Operasi Kuda Laut dilaksanakan pada 26 Jun lalu, sebanyak 51 bot bersama 582 nelayan Vietnam  ditahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN