Dua beranak cari kepah dikhuatiri lemas di Sungai Muar - Utusan Malaysia

Dua beranak cari kepah dikhuatiri lemas di Sungai Muar

PASUKAN penyelamat melakukan operasi SAR dua beranak yang dikhuatiri lemas di Sungai Muar, Johor, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mencari kepah di Sungai Muar, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, difahamkan mangsa, Zainal Jerman, 61, dan anaknya Muhammad Azwan, 25, bersama dua lagi individu ke Sungai Muar dengan menaiki bot yang sama.

“Bagaimanapun, dua beranak itu gagal ditemukan selepas mereka turun ke sungai tersebut.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa pertama iaitu bapanya turun ke dasar terlebih dahulu sebelum dipercayai terlepas daripada pegangan tali.

“Melihatkan kejadian itu, anaknya pula turun ke dalam sungai sebelum kedua-duanya gagal ditemukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zaharudin, polis menerima laporan pada pukul 3.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Difahamkan, mangsa turun daripada bot dengan jarak tiga kilometer dari muara sungai.

“Dua lagi individu yang turut berada di dalam bot dilaporkan selamat dan akan dipanggil bagi memberikan keterangan.

“Usaha mencari dan menyelamat ditangguhkan esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya