KLANG: Keasyikan 40 warga Indonesia bersuka ria di sebuah rumah kedai yang dijadikan ‘disko’ haram di Taman Bayu Perdana di sini terhenti apabila diserbu polis, malam kelmarin.
Difahamkan, premis di tingkat tiga itu menjadi lokasi kesemua 25 lelaki dan 15 wanita tersebut untuk berkumpul sempena sambutan ambang kemerdekaan negara.
Tindakan mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu bukan hanya mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) malah sebahagian besar tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, perkara itu dibongkar pihaknya yang menjalankan serbuan ke atas premis tersebut kira-kira pukul 11.30 malam.
“Ketika serbuan, semua warga Indonesia itu sedang leka menari dan bergembira di dalam rumah tersebut yang dijadikan sebagai disko.
“Mereka yang terkejut dengan kehadiran polis gagal melarikan diri dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas taklimat penugasan Op Cegah Jenayah Bersepadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Menurut Shamsul Amar, siasatan awal pihaknya mendapati semua warga asing itu berkomunikasi menerusi media sosial untuk berkumpul di premis tersebut.
“Ini berikutan hanya dua daripada mereka menetap di Klang manakala selebihnya dari luar daerah ini.
“Semakan mendapati, sebelum ini, rumah kedai ini pernah beroperasi sebagai disko. Kita kini sedang menyiasat pemilik sebenar premis tersebut,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai penjaga premis bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 61 (c) dan Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 selain
Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – UTUSAN ONLINE