KUALA LUMPUR: Perbahasan berkenaan usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah di Dewan Negara dikemukakan Senator Adrian Lasimbang di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1), hari ini.
Dalam sesi perbahasan usul itu, Adrian berkata isu tuntutan Sabah oleh Filipina bukan perkara baharu dan ia telah ditimbulkan semula pada 20 Ogos lalu setelah Dewan Perwakilan Filipina mengesyorkan peta Sabah dipamerkan dalam pasport negara berkenaan.
Selain itu, katanya, tindakan Filipina tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan soal kedaulatan negara .
“Perkara ini membawa implikasi sangat besar, sungguh ia hanyalah peta tetapi dari segi perbuatan ia adalah satu pengkhianatan dan tidak harus dikompromi.
“Ini adalah satu tindakan provokatif untuk menggugat dan mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia dan Sabah yang berada dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Selain Adrian, Senator Datuk Paul Igai, Senator Alan Ling Sie Kiong, Senator Raj Munni Sabu dan Senator Liew Chin Tong turut mengambil bahagian dalam perbahasan itu.
Dalam pada itu, Adrian berkata, tindakan Filipina dilihat sebagai satu pelanggaran terhadap kerjasama serantau melalui ASEAN serta melanggar undang-undang perjanjian di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Adrian turut meminta satu kajian sejarah Sabah dilakukan secara terperinci bagi memastikan kerajaan mempunyai fakta dan dokumen lengkap untuk menangkis tuntutan yang dilakukan oleh negara itu.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan tidak perlu mengiktiraf pasport Filipina yang memaparkan peta Sabah dan menghalang mereka yang menggunakan dokumen itu daripada memasuki negara ini. – UTUSAN ONLINE