GEORGETOWN : Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (Gapeim) menyarankan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium hingga Jun 2021 bagi mengurangkan beban rakyat akibat Covid-19 yang belum berakhir.
Presidennya, Dr. Ameenul Hussaini Abdul Kadir berkata, Covid-19 memberi impak kepada ekonomi dunia dan rakyat negara ini yang berpendapatan rendah dan golongan pertengahan.
“Kami memohon kerajaan melanjutkan tempoh moratorium hingga Jun 2021 bagi membolehkan rakyat dan industri yang terkandas terus bernafas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Bermula Oktober ini, peminjam bank perlu menyambung semula pembayaran hutang bank .
Hanya sejumlah daripada mereka diberi penangguhan tiga bulan lagi dan sebahagian lagi bayaran bulanan dikurangkan.
Ameenul Hussaini berkata, kebanyakan industri seperti pelancongan, perhotelan dan pengurup wang masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan ramai juga yang hilang pekerjaan.
“Kami bimbang pendemik ini tidak akan hilang dalam masa terdekat dan akan mengambil masa panjang untuk pemulihan ekonomi,” katanya.
Tambah beliau, Gapeim yang mempunyai 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan kerajaan mengambil keputusan tepat dan prihatin agar rakyat tidak terus dibebani ketika penularan wabak masih berlaku. – UTUSAN