PADANG BESAR : Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 6,310 kilogram atau 6.3 tan metrik daun ketum yang memenuhi segenap ruang di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Baru Wan Nik di sini, semalam.
Kesemua daun ketum yang siap dibungkus dengan plastik lutsinar itu dianggarkan bernilai RM189,300.
Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintenden Abdul Razak Md. Din memberitahu, serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung sebuah rumah yang menjadi tempat penyimpanan daun ketum.
Katanya, bungkusan daun ketum yang ditemukan itu memenuhi ruang tamu, dapur dan tiga bilik di rumah tersebut.
“Selepas menerima maklumat, sepasukan anggota ke lokasi tersebut bagi melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati rumah yang tidak berpenghuni itu dipenuhi longgokan plastik lutsinar mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua daun berkenaan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah pondok di Kampung Kubang Tiga Chuping di sini, PGA merampas sebanyak 990 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM29,700 kira-kira pukul 6 petang, Khamis lalu.
Abdul Razak memberitahu, ketika serbuan dilakukan terdapat beberapa orang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berkumpul di pondok tersebut.
“Kami cuba mendekati namun mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran kami. Pemeriksaan menemukan longgokan plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat daun hijau disyaki daun ketum.
“Pondok tersebut dipercayai sebagai tempat pengumpulan daun ketum. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE