Cubaan rasuah RM200 polis undang padah - Utusan Malaysia

Cubaan rasuah RM200 polis undang padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang kontraktor cuba memberi rasuah kepada anggota polis sebanyak dua kali mengundang padah apabila dia ditahan ketika sekatan jalan raya Op Benteng di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu bertindak demikian supaya anggota polis tidak mengeluarkan saman dan tidak membuat tangkapan terhadap pekerjanya seorang warga Bangladesh yang tamat dokumen perjalanan.

Ketua Balai Polis Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, lelaki itu diberikan amaran pertama namun tetap berdegil untuk memberi suapan dengan menawarkan RM200.

Katanya, dalam sekatan jalan raya kira-kira pukul 11.30 pagi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Plentong yang bertugas menahan sebuah van dinaiki empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh.

“Pemeriksaan mendapati pemandu van terbabit melakukan kesalahan lalu lintas menyalahi kesalahan cukai jalan manakala dokumen perjalanan lelaki Bangladesh berusia 28 tahun tamat tempoh.

“Semasa hendak membuat tangkapan ke atas lelaki warga Bangladesh itu dan hendak mengeluarkan saman, pemandu van meminta untuk memberi peluang supaya tidak diambil tindakan dan tidak membuat tangkapan dengan menawarkan RM200.

“Anggota polis terbabit memberi amaran supaya jangan cuba memberi rasuah kerana ia satu kesalahan. Sewaktu sedang menulis saman, pemandu terbabit telah meletakkan wang RM200 di atas meja di bawah khemah polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, anggota polis itu menahan pemandu van berkenaan kerana memberi rasuah serta merampas wang tunai RM200 tersebut.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor manakala tangkapan warga asing diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya